| 08 February 2010

Siri jerayawara astronomi Planetarium Sultan Iskandar dan Persatuan Astronomi Sarawak dimulakan dengan berkunjung ke salah sebuah sekolah di Samarahan, iaitu di SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, Sadong Jaya.
Kira-kira 450 pelajar telah menyambut kedatangan rombongan PSI-SAS ke sekolah tersebut pada jam 9.30 dengan perjalanan dari Kuching mengambil selama 2 jam.
Biarpun dalam keadaan keletihan, namun sambutan yang amat menggalakkan terutama daripada Pengetua Cikgu Junaidi serta guru-gurunya telah menyebabkan pihak rombongan tidak sabar untuk memulakan program memberikan kesedaran astronomi kepada para pelajar di luar bandar.
Dengan bilangan pelajar yang amat ramai menyertai aktiviti pada satu-satu masa, ini tidak mematahkan semangat untuk memastikan setiap pelajar memperoleh ilmu astronomi, dengan harapan apabila rombongan kembali ke Kuching, minat para pelajar dalam astronomi masih lagi kekal serta disebar kepada mereka yang berminat.
Para pelajar telah diberi peluang untuk menguji pengetahuan mereka dalam astronomi melalui soalan-soalan kuiz mudah selain mencuba dengan sendiri cara melancarkan roket air dan melihat matahari melalui teleskop.



