Sejarah PSI
Kuching yang telah diisytiharkan sebuah bandar raya pada 1 Ogos 1988 kemudiannya mencetuskan tumpuan lagi di seluruh negara apabila lima bulan kemudiannya sebuah planetarium yang seolah-olah hanya layak dimiliki oleh sebuah negara maju telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Almuttawakkil Alallah Al-Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail.
Dirasmikan pada 19 Januari 1989, Planetarium Sultan Iskandar (PSI) merupakan kemudahan pertama seumpamanya di Malaysia.
Ia dilengkapi dengan sebuah projektor buatan Jerman Zeiss M1015 dan mampu memaparkan keupayaan asas planetarium iaitu 5000 bintang tetap, bulan dan bintang serta beberapa efek khas yang semestinya mengagumkan.
Dengan diameter kubah 13 meter dan mampu menempatkan 170 orang penonton pada satu-satu masa.
Pertunjukan pertama adalah berkenaan bulan dan ia adalah hasil arahan Dr. Mazlan Othman dari Universiti Kebangsaan Malaya ketika itu.
Dengan pertunjukan pertama itu, planetarium telah menerima pengunjung yang tidak putus-putus. Sebahagian besar yang mengunjungi planetarium ketika itu adalah untuk membetulkan tanggapan berkenaan planetarium. Ada yang menganggap bahawa ia hanya sebuah wayang filem, malah ada pula yang menganggap bahawa ia sebuah teleskop besar yang terbuka kubahnya apabila pertunjukan dilangsungkan!
Kurator pertama adalah seorang rakyat Jerman Adolph Kunert dan dia memegang jawatan tersebut selama setahun sebelum kembali ke negaranya.
Penolong kurator ketika itu, Cik Zalia Morshidi telah dilantik menjadi kurator sehingga tahun 1994. Sepanjang dia memegang jawatan, planetarium telah meletakkan dirinya sebagai sebuah pusat rujukan pembelajaran sains angkasa yang tersohor di Sarawak.
Pertunjukan PSI telah kerap kali berubah dan malah ia turut memainkan beberapa pertunjukan pada satu-satu tempoh masa.
Ia juga turut mengadakan program cuti sekolah, rombongan mencerap gerhana matahari ke Sabah, penyertaan pameran dan banyak lagi. Malah melalui pelbagai program untuk orang awam serta program jerayawara sehingga jauh ke kawasan luar bandar, PSI telah memberi kesan di dalam membuka mata akan kepentingan ilmu saintifik kepada seluruh rakyat dalam membangunkan negara.
Bagi planetarium di Kuching pula, setiap kali efek ditunjukkan, setiap kali itu juga kita terdengar pelawat terutama sekali pelajar sekolah menyebut “wowww”. Bagi mereka yang baru pertama sekali melawat planetarium, mereka akan terasa mereka seolah-olah seperti menaiki sebuah kapal angkasa dan dibawa menjelajah ke alam semesta. Pertunjukan ‘Aku & Bintang’ yang mula-mula ke udara September 2006 yang lepas acapkali mendapat sambutan hangat. Teriakan dan tepukan gamat pengunjung terutama sekali rombongan pelajar sekolah menunjukkan bahawa pertunjukan tersebut memang benar-benar mendapat tempat di hati mereka.
Mana tidaknya, mereka berpeluang untuk merasakan pengalaman di angkasa lepas tanpa menaiki kapal angkasa Rusia atau Amerika. Malah ia tetap menjanjikan pengalaman dan keselesaan serta mampu dinikmati bersama keluarga walaupun di atas keselesaan kerusi empuk!
Pemandangan bahagian dalam Planetarium Sultan Iskandar dan projektor Zeiss M1015.