psi logo new

Hari Astronomi SMK Kidurong

 

Planetarium Sultan Iskandar dan Persatuan Astronomi Sarawak telah menganjurkan Hari Astronomi SMK Kidurong di SMK Kidurong, Bintulu pada 15-17 Jun 2015 sempena meraikan kemenangan sekolah tersebut dalam pertandingan Astrokuiz yang diadakan padas 2013.

 

Hari Astronomi yang diadakan selama tiga hari ini telah melibatkan kerjasama antara PSI, SAS dan guru-guru serta pelajar-pelajar SMK Kidurong untuk merealisasikan program yang dirancang setelah mengumumkan kemenangan SMK Kidurong sebagai juara bagi Astrokuiz 2013.

 

Kira-kira 1570 pelajar termasuk guru terlibat dalam program Hari Astronomi ini dengan pihak PSI dan SAS telah mengadakan beberapa program pengenalan kepada astronomi serta kepada program yang memerlukan kemahiran matematik dan fizik.

 

Aktiviti-aktiviti yang disusun semasa program Hari Astronomi ini melibatkan pelbagai peringkat umur lebih-lebih lagi ia bukan sahaja memfokuskan kepada pelajar jurusan sains sahaja.

 

Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuk Small and Large, Near and Far yang merupakan pengenalan kepada astronomi secara umumnya. Di samping itu, pelajar yang terlibat juga belajar cara mencari buruj dan juga membuat carta bintang bagi memudahkan mereka untuk mengenal pasti buruj-buruj di langit. Untuk mengenali dengan lebih lanjut tentang buruj, pelajar-pelajar juga telah belajar cara menggunakan perisian Stellarium yang merupakan perisian khusus untuk mencari buruj, planet serta objek langit.

 

Selain itu, terdapat juga pelajar-pelajar yang berpeluang untuk mereka pendarat misi ke Marikh yang merupakan simulasi peralatan untuk dibawa ke planet Marikh. Ia merupakan simulasi di mana telur diletakkan di dalam bekas dan pelajar-pelajar dikehendaki menjatuhkan bekas itu dari tempat tinggi. Telur yang tidak pecah membuktikan pelajar telah mereka bekas yang dapat menampung rintangan yang terpaksa dilalui ketika menjatuhkan telur tersebut.

 

Dalam program Hari Astronomi ini, terdapat tiga pertandingan telah diadakan iaitu pertandingan membuat Infografik, membuat jam matahari hybrid dan pertandingan membuat dan melancarkan roket air. Ketiga-tiga pertandingan ini telah menguji kemahiran dan pengetahuan pelajar-pelajar dalam menghasilkan sesuatu secara berkumpulan dalam tempoh yang telah diberikan. Pemenang-pemenang bagi pertandingan ini menerima binokular, hamper, plak dan sijil sumbangan PSI dan SAS.

 

PSI telah membawa kubah mini ke sekolah tersebut bagi membolehkan para pelajar dan guru untuk mencuba melihat sedutan tayangan yang ditawarkan. Kubah mini planetarium ini sentiasa menjadi tarikan utama memandangkan ia merupakan salah satu cara untuk mengalami suasana melihat tayangan planetarium sekiranya tidak berupaya untuk ke teater planetarium di Kuching.

 

Aktiviti cerapan matahari telah diadakan dengan menggunakan teleskop Coronado, namun cerapan langit malam tidak berjaya dilakukan memandangkan cuaca yang tidak mengizinkan semasa program digunakan.

 

Majlis penutupan Hari Astronomi SMK Kidurong telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Pendidikan Bintulu, Abdul Mu’in bin Abdul Kassim bersama-sama Pengetua SMK Kidurong Then Chew Nyiew serta dihadiri oleh kakitangan Planetarium Sultan Iskandar, Persatuan Astronomi, guru-guru serta pelajar-pelajar sekolah tersebut.

 

Dalam majlis tersebut, pihak PSI dan SAS turut menyampaikan teleskop kepada pihak sekolah sebagai cenderamata bagi sekolah tuan rumah yang telah mengadakan Hari Astronomi.

11536432 989316507768703 1216045299920668957 o

Print Email